PENDANG – Pelajar semester akhir Institut Kemahiran Mara (IKM) Sungai Petani yang menghilangkan diri selepas keluar dari rumah menuju ke tempat pengajiannya Selasa lalu ditemui di Gurun, dekat sini petang semalam.
Bapanya, Azhari Othman, 56, berkata, anaknya, Muhammad Alif Danial, 21, ditemui oleh tiga pelajar pusat pengajian sama tetapi berlainan kursus berjalan kaki dalam keadaan menangis berdekatan sebuah bangsal terbiar di Jalan Gurun-Sungai Petani sewaktu melalui laluan itu pada pukul 3.30 petang semalam.
“Salah seorang pelajar itu kemudian menelefon saya memaklumkan melihat Muhammad Alif dalam keadaan kusut masai sebelum saya bergegas ke lokasi dinyatakan bersama dua adik ipar.
“Sewaktu kami sampai, anak dalam keadaan trauma dan tidak banyak bercakap sebaliknya memaklumkan dia baru ditinggalkan di situ tetapi tidak ingat apa yang berlaku kepadanya sebelum itu,” katanya yang ditemui di rumahnya di Pokok Tai, Jenun di sini malam tadi.
Kata Azhari, semasa ditemui anaknya berada dalam keadaan separuh sedar, banyak mendiamkan diri dan tidak henti-henti menangis menyebabkan dia terpaksa memujuknya sebelum membawanya ke Balai Polis Bukit Jenun untuk membuat laporan.
“Sebelum bergerak balik saya sempat berbual dengan pelajar yang menemui Muhammad Alif dan mereka berkata anak saya itu memberitahu dia diculik, motosikal miliknya dilarikan bersama dengan kad ATM semasa dalam perjalanan ke pusat pengajiannya pada pagi Selasa lalu.
“Namun, semasa saya menyoalnya dia menjawab tidak dapat mengingati kejadian itu dan apabila tiba di rumah dia berada dalam keadaan tidak bermaya sebelum saya membawanya ke Hospital Yan untuk diberikan rawatan,” katanya yang akan menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan selanjutnya.- KOSMO! ONLINE