REVOLUSI kenderaan elektrik (EV) menyaksikan kemajuan luar biasa dalam landskap teknologi pembuatan kereta.
Ini mendorong syarikat automotif mengeluarkan versi EV dengan reka bentuk menarik, selain penawaran dari segi teknologi dan sistem keselamatan.
Persaingan kompetitif ini amat baik selaras dengan perkembangan kenderaan tenaga baharu bagi mengurangkan emisi karbon.
Tidak terkecuali, jenama automotif Chery Malaysia yang baharu setahun bertapak di negara ini telah melancarkan model EV Omoda E5 yang mempunyai elemen futuristik.
Sejak dilancarkan pada awal bulan Mac lalu, Omoda E5 dilihat memberi saingan kepada model EV jenis kenderaan utiliti sukan (SUV) lain yang berada di pasaran.
Harga jualan rasmi untuk Chery Omoda E5 adalah bermula pada RM146,800 dengan empat pilihan warna iaitu Aqua Green, Khaki White, Phantom Grey dan Dark Black.
Bagi mereka yang mempertimbangkan untuk membeli EV pertama, mungkin boleh masukkan Omoda E5 dalam senarai kerana harganya agak berbaloi selain ciri premium tidak dilupakan.
Omoda E5 merupakan kenderaan alternatif baharu berbanding model Omoda 5 versi enjin pembakaran dalaman (ICE) yang dikeluarkan Chery.
Dari segi luaran, model EV ini mempunyai rekaan minimalis tetapi ada faktor ‘wow’ yang menjadi tarikan apabila jentera ini meluncur di jalan raya.
Omoda E5 tidak diberikan gril utama ikonik seperti Omoda 5 kerana ia tidak memerlukan unit radiator, sebaliknya digantikan dengan satu bar hitam berkilat yang bersambung dengan kemasan lampu nyalaan siang LED.
Baik lelaki atau perempuan akan nampak elegan jika memandu kenderaan ini yang mempunyai konfigurasi lima tempat duduk, sesuai untuk pemanduan bersama keluarga.
Baru-baru ini, penulis berpeluang memandu Omoda E5 selama beberapa hari dan ia mengubah pendirian penulis mengenai kereta jenama dari China itu yang ternyata memberikan prestasi hebat dan selesa.
Penulis menelusuri pemanduan di jalan bandar, lebuh raya dan jalan kampung dengan yakin tanpa perlu risau untuk berhenti mengecas secara kerap memandangkan model ini mempunyai jarak gerak 430 kilometer (km) bagi bateri penuh (100 peratus).
Dari segi suspensi, pengendalian dan pengawalan stereng, Omoda E5 adalah stabil dan seimbang ketika melalui selekoh dengan pelarasan gear untuk P, R, N dan D yang terletak di konsol stereng ala tuil gear di sebelah kanan memudahkan pemanduan.
Menariknya, bahagian hadapan SUV ini menempatkan soket plug untuk mengecas agak berbeza berbanding soket pengecsan EV lain yang biasanya berada di bahagian tepi.
Dengan ciri aerodinamik, Omoda E5 diperkemas dengan rim aloi bersaiz 18 inci serta liang udara (vent) dibuka secara automatik bagi menyejukkan motor elektrik apabila kenderaan dipandu laju.
Dari segi dimensi, SUV premium ini mempunyai panjang 4,420 milimeter (mm), lebar 1,830mm, tinggi 1,588mm dan jarak antara roda 2,630mm.
Ia menyediakan ruang yang mencukupi untuk penumpang selain kapasiti bagasi yang besar 483 liter memberikan banyak ruang penyimpanan barang.
Ciri praktikaliti Omoda E5 ialah memiliki jarak kelegaan tanah mencecah 145mm yang mana ia agak selamat apabila meredah laluan banjir memandangkan bateri kereta terletak di bahagian bawah.
Omoda E5 dijana oleh motor elektrik pemasangan hadapan (FWD) dengan kuasa 201hp dan tork 340Nm.
SUV EV ini mampu memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam 7.2 saat yang mana motor elektrik tersebut dijana oleh bateri Lithium Iron Phospate (LFP) berkapasiti 61 kWh.
Ia membolehkan SUV EV ini bergerak sejauh 430km dengan kelajuan maksimum pula mencecah 172 km/j.
Menurut Chery, penggunaan kuasanya sekitar 14.5 kWh bagi setiap 100km. Selain itu, EV ini menyokong pengecasan arus ulang alik (AC) maksimum 9.9 kW serta pengecas arus terus (DC) sehingga 80kW yang boleh mencapai tahap 30 hingga 80 peratus dalam masa 28 minit.
Kenderaan ini juga boleh berfungsi sebagai ‘powerbank bergerak’ menerusi sistem Vehicle-to-Load (V2L), di mana pengguna boleh menjadikan EV ini sebuah sumber kuasa elektrik mudah alih.
Meninjau ke ruangan kabin, penulis tertarik dengan pemilihan warna biru dan krim yang digunakan untuk kerusi pemandu dan penumpang sekali gus nampak moden.
Dengan menggunakan bahan kulit upholsteri berkualiti tinggi pada seluruh tempat duduk pemandu dan penumpang, ia menambahkan lagi sentuhan mewah bahagian dalaman.
Tambahan lain, skrin infotainment berukuran 24.6 inci Omoda E5 turut menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar dan menampilkan sistem bunyi yang premium dari Sony.
Satu perincian yang agak menarik, Omoda E5 ini tidak diberikan butang pemula seperti butang penghidup enjin, sebaliknya pemandu hanya perlu meletakkan kunci dalam poket pakaian, tekan pedal brek dan SUV ini sudah boleh dipandu.
Selesai memandu, pemandu hanya perlu meletakkan gear pada posisi ‘P’ dan terus keluar dari kenderaan.
Untuk ciri keselamatan pula, Chery Omoda E5 dilengkapi generasi terkini Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS) 2.5 yang terdiri daripada Front Collision Warning (FCW), Autonomous Emergency Braking (AEB), Adaptive
Cruise Control (ACC), Lane Departure Warning (LDW), Multi Collision Brake (MCB) dan Traffic Jam Assistant (TJA)
Kesimpulannya, model Omoda E5 ini amat berbaloi untuk dimiliki dengan ciri-cirinya yang agak praktikal dan mudah dikendalikan bagi pengguna yang pertama kali ingin mencuba serta memiliki EV.
Pada harga di bawah RM150,000 bagi sebuah SUV premium elektrik ia seperti mustahil atau sukar diperoleh bagi jenama lain di pasaran, namun Chery Omoda E5 memiliki semua yang diperlukan bagi sebuah kenderaan canggih dari aspek teknologi, keselamatan dan keselesaan.
Jadi ia boleh dijadikan pilihan yang tepat dengan penawaran harga kompetitif dan berbaloi dimiliki.