KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) bersedia untuk melakukan penambahbaikan bagi mengelak Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) menjadi bahan jenaka dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
Menterinya, Hannah Yeoh juga menjelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut prihatin terhadap sukan bola sepak termasuklah dalam aspek pembangunan akar umbi.
Bagaimanapun, ketika ini KBS perlu menanti laporan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kerana badan induk itu adalah pihak berkelayakan untuk melakukan penilaian.
“Ini (mesyuarat bersama AFC, NFDP dan Persatuan Bola Sepak Malaysia) berikutan pengumuman Perdana Menteri mengenai sumbangan RM 15 juta untuk bantu Harimau Malaya.
“Dalam perbincangan awal kita dengan Perdana Menteri, kita juga mahu RM 15 juta itu digunakan bukan saja untuk Harimau Malaya, tetapi juga buat pasukan muda dan itu adalah hasrat Perdana Menteri.
“Apabila mereka (AFC) siap (laporan), kita akan kongsikan penemuan itu. Saya nak pastikan wujudnya saluran kepada penyediaan pemain untuk skuad Harimau Malaya,” katanya.
Sebelum ini, program NFPD mencetuskan persoalan ekoran skuad Bawah 16 Tahun (B-16) negara gagal layak ke Piala Asia B-17 2025 pada aksi kelayakan yang berlangsung di Laos, bulan lalu.
Hannah juga berharap penilaian terhadap Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) yang dibuat oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dapat disiapkan sebelum akhir tahun ini.