KLANG – Kehilangan seorang nelayan tempatan selepas terjatuh bot di sekitar Pulau Ketam di sini, kelmarin terungkai apabila mayatnya ditemui semalam.
Mayat mangsa, Chia Hap Swa, 59, dijumpai di kedudukan 8.1 batu nautika barat daya pulau berkenaan pukul 10.45 pagi.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, lelaki itu dilaporkan hilang selepas terjatuh ke laut di kedudukan tujuh batu nautika perairan pulau itu kira-kira 9.30 pagi kelmarin di
Katanya, berdasarkan maklumat mangsa bersama rakan sedang menangkap ikan sebelum disedari terjatuh daripada bot dinaiki mereka.
“Lelaki itu kemudiannya hanyut dibawa arus laut dan dua bot Maritim Malaysia bergegas ke lokasi bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah.
“Bantuan pencarian turut disalurkan komuniti nelayan tempatan di sekitar lokasi kejadian,” katanya hari ini.
Jelasnya, mayat mangsa ditemukan dengan berpakaian baju hijau muda berseluar panjang telah diserahkan ke pihak Polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE