KUALA LUMPUR – Minyak masak, telur dan beberapa barangan keperluan lain menjadi tumpuan pengunjung di reruai Jualan Madani sempena Program 2 Tahun Kerajaan Madani (2TM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Tinjauan Kosmo! mendapati kebanyakan barangan yang dijual jauh lebih murah berbanding harga pasaran dan stoknya juga banyak.
Sebagai contoh, harga minyak masak botol lima kilogram dijual RM21.90 berbanding RM26 hingga RM29 harga pasaran.
Telur sepapan 30 biji bagi gred A pula dijual RM10, manakala harga serbuk koko jenama terkenal adalah RM15 untuk pek seberat 900 gram.
Seorang pengunjung yang mahu dikenali sebagai Nor Laila, 45, dia sudah dua hari berturut-turut datang membeli barangan keperluan di reruai Jualan Madani.
“Semalam saya datang beli minyak masak, telur dan beras. Hari ini pula saya datang beli biskut, sardin, sos dan sabun.
“Memang harganya jauh lebih murah berbanding harga di kedai biasa. Beza RM2 hingga RM10 bagi satu-satu barangan. Jimatlah perbelanjaan barang dapur saya pada bulan ini,” katanya yang datang dari Selayang.
Sementara itu, Mohd. Khalid Isa, 51, memberitahu dia mengambil kesempatan cuti hujung minggu datang ke program 2TM bersama ahli keluarganya.
“Pada awalnya saya datang untuk melihat apa yang ada di sini (reruai yang disediakan). Tetapi paling menarik perhatian adalah reruai Jualan Madani.
“Kebetulan keluar hari ini pun nak beli barang dapur sambil jalan-jalan bersama ahli keluarga. Jadi kami ambil kesempatan untuk ‘borong’ barang dapur di sini (KLCC). Harga memang sangat murah, jauh beza dengan kedai luar,” kata bapa enam anak itu.
Reruai Jualan Madani di KLCC dibuka selama tiga hari bermula Jumaat lalu dan beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 6 petang. – KOSMO! ONLINE