PETALING JAYA- Lima negeri iaitu Melaka, Terengganu, Perak, Kelantan dan Selangor dilanda banjir dengan bilangan mangsa yang terjejas meningkat hari ini.
Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, banjir di lima negeri itu melibatkan 808 mangsa daripada 202 keluarga yang ditempatkan di 23 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 11 pagi ini.
Jumlah mangsa tertinggi iaitu 409 orang daripada 93 keluarga di Terengganu melibatkan daerah Marang, Dungun, Besut, Kemaman dan Hulu Terengganu. Mereka kini ditempatkan di 17 PPS.
Sementara itu, di Melaka pula melibatkan Melaka Tengah yang menempatkan 284 mangsa daripada 74 keluarga di tiga PPS.
Di Perak, seramai 68 mangsa daripada 22 keluarga terjejas di Larut, Matang dan Selama dengan sebuah PPS dibuka setakat ini.
Menurut data JKM, hanya satu daerah iaitu Bachok di Kelantan yang dilanda banjir dengan 40 mangsa daripada 11 keluarga ditempatkan di sebuah PPS.
Di Selangor, seramai tujuh mangsa daripada 2 keluarga ditempatkan di sebuah PPS di Kuala Langat. -KOSMO! ONLINE