fbpx

‘Inspektor Harun’ tipu pengarah syarikat, kebas duit RM1.14 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Seorang pengarah syarikat sebuah syarikat swasta berputih mata apabila wang simpanan RM1,140, 320 miliknya dikebas seorang lelaki menyamar sebagai Inspektor Harun.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, mangsa, wanita berusia 37 tahun mula terjerak dengan sindiket penipuan dalam talian pada 31 Oktober lalu.

Menurutnya, mangsa menerima panggilan daripada scammer kira-kira pukul 3 petang yang memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat penghantaran.

“Individu berkenaan memberitahu mangsa bahawa terdapat bungkusan atas nama wanita berkenaan yang dikatakan mempunyai buku cek dan token bank namun mangsa menafikan ada membuat pesanan terbabit.

“Panggilan telefon kemudian disambung kepada pegawai polis yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Harun untuk membuat laporan penafian tersebut.

“Mangsa telah bercakap dengan Inspektor Harun dan mangsa ditekan terdapat kad visa milik mangsa telah dijumpai dan dikatakan terlibat dengan kes penipuan dan penggubahan wang haram,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kumar berkata, mangsa diarahkan untuk memindahkan wangnya ke akaun lain untuk tujuan siasatan pihak bank negara.

Katanya, akibat takut dan bimbang dikenakan tindakan undang-undang, mangsa telah membuat pemindahan sejumlah wang RM1,140,320 ke akaun diberikan Inspektor Harun.

Namun, selepas beberapa hari mangsa cuba menghubungi lelaki berkenaan namun gagal dan menyedari dirinya telah ditipu sebelum membuat laporan polis semalam.

Kumar berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI