PENYERANG skuad feeder PSV Eindhoven, Iggy Houben mengesahkan ‘terbuka’ untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya sekiranya mendapat peluang sekiranya mendapat peluang pada masa akan datang.
Menerusi video yang dimuat naik oleh laman pencari bakat frfuturetalents, Houben yang berusia 20 tahun mengakui teruja apabila dikaitkan dengan skuad negara kerana memiliki salasilah daripada neneknya.
“Ini adalah peluang terbaik buat saya dan cukup gembira (apabila dikaitkan dengan pasukan Harimau Malaya).
“Secara jujur, saya tidak pernah ke Malaysia dan harap dapat ke sana pada masa akan datang.
“(Mengenai salasilah keturunan, saya ada (darah Malaysia) menerusi nenek kandung saya,” katanya.
Sementara itu, Houben yang lahir di Eindhoven mengakui tidak mempunyai masalah untuk beraksi di mana-mana posisi serangan jika diperlukan nanti.
“Saya selesa bermain di mana-mana posisi serangan tidak kira bahagian kiri, kanan atau tengah,” katanya yang turut mengucapkan ‘Malaysia Boleh’ dalam video tersebut.
Difahamkan, Houben menjadi salah seorang pemain di Eropah yang berada dalam radar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk diserapkan dalam revolusi skuad kebangsaan nanti.
Namun, badan induk bola sepak negara sebelum pernah terkena ‘scam’ sebelum ini apabila seorang pemain kelahiran Belanda, Mats Deijl tidak dibenarkan untuk mewakili Harimau Malaya pada Oktober lepas.
Situasi ini disebabkan Deijl tidak melepasi syarat Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) yang mahu mana-mana pemain untuk menukar negara perlu memiliki salasilah sekurang-kurangnya daripada datuk atau nenek kandung mereka. – KOSMO! ONLINE