TANJUNG MALIM – Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim bertitah perangkaan tahun 2022 menunjukkan hanya 40 peratus pelajar yang berpeluang mengikuti pengajian di peringkat tertiari.
Baginda bertitah, baki 60 peratus telah menamatkan pengajian lebih awal dan majoriti telah menceburkan diri dalam alam pekerjaan.
“Mungkin ada di antara mereka yang menjadi pemandu kenderaan berperanan sebagai pemudah cara kepada perjalanan sebahagian tetamu yang hadir di dewan ini.
“Mungkin ada yang terlibat secara langsung dan tidak langsung menyediakan pakaian para graduan, membekalkan skrol atau menyediakan minuman dan makanan dalam acara konvokesyen ini. Bermakna mereka juga berperanan signifikan kepada masyarakat dan negara,” titah baginda.
Tuanku Zara berkenan bertitah dalam ucapan selaku Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris sempena Majlis Konvokesyen UPSI ke-26 di sini hari ini.
Baginda bertitah, sewajibnya menjadi tanggungjawab utama para guru untuk menerima realiti perbezaan daya dan upaya anak didik lantas secara bijaksana menyemaikan rasa yakin dalam diri mereka untuk menjadi warga yang berguna menurut bakat, kecenderungan dan daya upaya masing-masing. – KOSMO! ONLINE