LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berpeluang untuk melengkapkan aksi ke-250 dengan tugasnya sebagai pengendali pasukan itu penuh bermakna sekiranya mampu tewaskan Nottingham Forest, malam ini.
Selepas dihimpit masalah prestasi dalam tiga perlawanan lalu, Arteta yang memiliki rekod baik sejak mengemudi pasukan berkenaan bagi tempoh sejak lima tahun lalu tidak mahu terus berdepan kekecewaan.
Walaupun dihimpit isu kecederaan pemain, pertahanannya, Oleksandr Zinchenko tetap percaya Arteta adalah individu yang memiliki kelebihan dalam aspek permainan minda.
Bintang dari Ukraine itu anggap Arteta mampu mencetuskan kekeliruan buat pasukan lawan dengan menyenaraikan pemain yang cedera dalam senarai pasukan pada hari perlawanan.
“Dia gemar menyerang minda pasukan lawan. Saya pernah lihat beliau memberitahu kepada pemain yang cedera supaya berada dalam bas bersama pasukan dan masuk ke bilik persalinan.
“Situasi menyebabkan pengurus pasukan lawan kebingungan dengan cara provokasi yang dilakukannya,” katanya yang anggap itu adalah sebahagian daripada permainan psikologi Arteta.
Ketika ini tiada pengurus yang mampu memenangi lebih banyak dalam 250 penampilan pertama di mana Arteta sudah pun merekodkan 146 kemenangan. – AGENSI