KUCHING – Bangkai ikan paus yang tular di media sosial baru-baru ini, kini dijumpai tersangkut di Jambatan Triso di sini semalam.
Jurucakap Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) berkata penemuan bangkai ikan itu susulan daripada usaha pencarian yang dilakukan.
Ia selepas video yang dikongsikan seorang penduduk menunjukkan bangkai ikan paus itu terapung di perairan Sungai Batang Lupar berhampiran Kampung Pulau Seduku, Sri Aman pada Selasa lalu.
Bagaimanapun, pencarian yang dilakukan oleh SFC gagal menemukan bangkai ikan itu kerana dipercayai sudah dihanyutkan air pasang.
“Pada masa ini, ia tersangkut pada tiang jambatan dan hanya boleh diambil semasa air pasang.
“Penilaian awal mendapati bangkai ikan paus itu sudah dalam keadaan mereput,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, ikan paus itu, yang dianggarkan sebagai spesies 𝑏𝑎𝑙𝑒𝑒𝑛 dewasa, berukuran kira-kira 10 meter panjang, dengan ukur lilit sekitar 2.8 meter dan kira-kira 50 alur tekak.- KOSMO! ONLINE