fbpx

Bangga kongsi ilmu dalam Festival Walk The Doc 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Penerbit juga pengarah filem dokumentari Malaysia, Rosli Mohd. Nordin terpilih mewakili Malaysia bagi berkongsi pengalaman penerbitan dokumentari sempena Festival Filem Dokumentari Antarabangsa Walk The Doc 2024.

Rosli menjadi moderator bagi sesi pada hari ketiga di festival tersebut, 21 November 2024 (Khamis) di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, lalu.

Menurut Rosli, peluang tersebut digunakan untuk berkongsi pengalaman sebagai wartawan penyiaran dan penerbit serta pengarah dokumentari yang bertajuk Wanita Bidayuh Bergelan Tembaga Terakhir.

“Wanita Bidayuh Bergelang Tembaga Terakhir merupakan projek tahun akhir bagi pengajian Sarjana Pengajian Media Universiti Malaya (UM). Dokumentari berkenaan pernah mengharumkan nama Malaysia apabila dipilih sebagai pemenang bagi Kategori Audio Visual Program Kreatif Cemerlang-Dokumentari Pendek sempena Pameran Pertukaran Video Pendek Pelajar-pelajar Negara Asia 2022 anjuran Jilin Animation Institute, Jabatan Informasi Wilayah Jilin dan Persatuan Budaya Antarabangsa Wilayah Jilin, China, katanya.

Tambah Rosli, penerbitan dokumentari amat penting tidak hanya sekadar sebagai bahan tontonan sama ada di pelantar konvensional atau media sosial, tetapi ia mempunyai peranan yang amat besar khususnya dalam aspek dokumentasi dan citra budaya sesebuah negara atau tamadun.

“Jika kita kaji, banyak warisan budaya, sejarah dan alam semulajadi yang pupus dan tidak dapat disaksikan lagi.

“Jadi penerbitan dokumentari amat penting bagi merakam pelbagai subjek yang boleh memberi impak tersendiri bagi membina tamadun, budaya bangsa dan dalam masa yang sama mampu menjadi rujukan dan dokumentasi pelbagai pihak,” ujar Rosli yang merupakan bekas penerbit dokumentari Syahadah dan program majalah, Panorama Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Rosli yang kini merupakan Ketua Unit Komunikasi dan Pemasaran Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) mempunyai pengalaman amat luas dalam bidang penerbitan dokumentari dan penyiaran, pernah menjadi Juri Festival Dokumentari Antarabangsa di Turki bagi tahun 2014 dan 2018.

Dia juga pernah memenangi 16 anugerah kewartawanan dan penerbitan dokumentari di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, antaranya ialah Wartawan Penyiaran TV Terbaik Anugerah Seri Angkasa 2006, Wartawan Penyiaran 2005 dan 2007 anjuran Petronas dan Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Bagi Pengarah Festival Walk The Doc 2024 dan juga pengasas Happy Campers Production, Nurashikin Zaharuddin berharap pengiat dalam penerbitan dokumentari wajar mengambil peluang keemasan ini untuk membina jaringan di peringkat Antarabangsa.

“Seramai hampir 400 peserta dijangka akan hadir sempena festival ini yang datang dari pelbagai negara ahli ABU antaranya ialah Russia, Hong Kong, Turkiye, Indonesia, United Kingdom, Belanda, selain panel dan moderator serta peserta dari Malaysia.

Selain sesi forum dan perkongsian pengalaman, festival ini juga menyaksikan penganjuran Master Class, pembentangan projek penerbitan dokumentari dan pertandingan Short Story, Big Impact yang bertujuan mencungkil bakat muda dalam penerbitan dokumentari. Walk The Doc diilhamkan daripada projek Walkabout Asia.

Objektif penganjurannya, bagi menyatukan penerbit dokumentari, aktivis alam sekitar, pengembara dan pencipta kandungan mengangkat isu alam sekitar dan impaknya terhadap pembangunan dunia di masa depan,” jelas Nurashikin.

Festival Walk The Doc 2024 yang berakhir pada 21 November lalu merupakan penganjuran kedua selepas kali terakhir di Langkawi, Kedah sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Televisyen ABU, Hanizah Hamzah berkata Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik, ABU bekerjsama dengan pihak Walk The Doc 2024 dalam penganjuran festival ini.

“Penganjuran Walk The Doc 2024 kali ketiga ini amat penting bagi memberi sinergi baru dalam penerbitan dokumentari dan membina jaringan kerjasama antara ahli sama ada penyiar dalam dan luar negara (organisasi TV dan radio kerajaan atau swasta) dan syarikat penerbitan (production house) menerbitkan dokumentari yang berkualiti.

Festival ini tidak sahaja sekadar menggalakkan lebih banyak penerbitan dokumentari, malah pengisian penting seperti tayangan dokumentari terpilih, pertukaran ilmu-pengalaman, pitching, pertukaran bahan penerbitan dan pemasaran dokumentari serta menampilkan pakar dalam penerbitan dokumentari dalam dan luar negara,’ jelas Hanizah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI