KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur menumpaskan sindiket pelacuran yang menggunakan laman sesawang sebagai medan untuk membuat tempahan dalam serbuan di sebuah hotel di Pudu, di sini, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, serbuan Op Noda KL Strike Force itu dilakukan sekitar pukul 6.30 petang.
Katanya, operasi itu dianggotai 15 pegawai dan anggota Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
“Tangkapan membabitkan tujuh orang pelacur warga asing terdari daripada wanita warga Indonesia (lima), Thailand (satu) serta Vietnam (satu) yang berusia antara 25 hingga 35 tahun.
“Turut dirampas beberapa keping kondom, tuala mandi (tujuh), telefon bimbit (10), tisu basah, dan botol gel pelincir,” katanya.
Menurut Rusdi, siasatan awal mendapati pelacur tersebut menetap di hotel dan akan menerima tempahan daripada pelanggan menerusi laman sesawang www.amoi2U.info.
Jelasnya, pelanggan akan memilih pelacur kemudian menghubungi nombor telefon tertentu sebelum diberikan nombor bilik di hotel berkenaan.
“Pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat seks perlu membayar RM250 dan memberikannya wang kepada pelacur tersebut.
“Bayaran RM250, pelacur akan dapat RM120 manakala baki RM130 akan diberikan kepada penjaga.
“Purata pelanggan yang melanggani seorang pelacur lebih kurang dua atau tiga orang yang kebanyakannya adalah warga tempatan.
Tambah beliau, kegiatan pelacuran tersebut aktif beroperasi dari pukul 12 malam sehingga 4 pagi.
“Kesemua tangkapan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE.