SEGAMAT – Segamat mula dilanda banjir apabila sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Balai Raya Gemereh 4 Batu Badak, Segamat, di sini, dibuka pada pukul 2 petang hari ini dengan menempatkan 11 mangsa banjir daripada empat keluarga.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Mohd.Masni Wakiman berkata, PPS di Balai Raya Batu Badak Segamat dibuka apabila air melimpah ke kawasan penempatan penduduk.
“PPS ini dibuka berikutan kawasan yang terjejas di naiki air di Kampung Seberang Batu Badak, Segamat. Setakat ini, 11 mangsa iaitu enam lelaki dan tiga wanita serta dua kanak-kanak lelaki.
“Berlaku limpahan air dari Sungai Muar Segamat. Bagaimanapun, pemantauan berterusan akan dijalankan oleh agensi berkaitan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Segamat Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, penduduk di kawasan yang dinaiki air dinasihatkan supaya akur apabila diminta oleh pihak berkuasa untuk berpindah ke PPS bagi mengelakkan mereka terkandas.-KOSMO! ONLINE