fbpx

Zii Jia dapat ‘talian hayat’ ke WTF 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA mengesahkan tempat ke WTF 2024 meskipun tersingkir di pusingan pertama China Masters kelmarin.

PERSEORANGAN lelaki profesional negara, Lee Zii Jia boleh menarik nafas lega apabila sudah mengesahkan tempat ke Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 di Hangzhou, China pada 11 hingga 15 Disember depan.

Meskipun tersingkir seawal pusingan pertama China Masters di Shenzhen kelmarin, namun beberapa keputusan lain melibatkan pencabar terdekatnya memberikan ‘talian hayat’ buat pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu.

Ketika tewas 14-21, 21-13, 13-21 kepada pemain India, Lakshya Sen, peluangnya untuk layak seolah-olah tipis, namun kekalahan dialami dua pemain Jepun, Kenta Nishimoto dan Koki Watanabe memastikan Zii Jia mara.

“Tahniah kepada Kunlavut Vitidsarn (Thailand) dan Lee Zii Jia. Perlumbaan ke WTF akan diteruskan lagi pada China Masters 2024,” menurut kenyataan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengesahkan perkara itu semalam.

Menerusi perkembangan terbaharu itu, ini merupakan kali ketiga pemain No. 7 dunia itu melayakkan diri ke kejohanan penutup tirai kalendar Jelajah Dunia BWF selepas musim 2020 dan 2021.

Kemaraan ke WTF 2024 menepati jangkaan Zii Jia apabila dia pernah menyuarakan keyakinan untuk layak meskipun perlu bergantung kepada keputusan pemain-pemain selepas tewas di pusingan pertama China Masters kelmarin.

“Secara peribadi, saya agak yakin boleh layak tahun ini, terutamanya ketika peluang saya cukup besar dan berada dalam kedudukan terbaik. Sudah tentu saya mengharapkan untuk layak ke WTF,” kata bekas juara All England itu.

Pencapaian terbaik Zii Jia pada saingan WTF sewaktu edisi 2021 di Bali, Indonesia apabila mara ke separuh akhir sebelum tewas 18-21, 18-21 kepada Kunlavut yang menjadi naib juara.

Sebagai rekod, WTF 2024 menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan paling besar sepanjang saingan musim ini iaitu AS$2.5 juta (RM11.17 juta).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI