PETALING JAYA – Pasukan Perak FC meletakkan sebelah kaki ke pusingan suku akhir Piala Malaysia selepas melakar kemenangan 3-0 ke atas Kelantan Darul Naim (KDN FC) pada aksi pertama pusingan 16 sebentar tadi.
Pada perlawanan di Stadium MB Petaling Jaya itu, skuad The Bos Gaurus kendalian Yusri Che Lah dengan Clayton Da Silveira, Shivan Pillay, Sunday Afolabi dan Azfar Fikri menguatkan kesebelasan utama.
Pasukan Perak FC sebagai pelawat tidak mempunyai masalah untuk mendahului menerusi penyudah Clayton yang bijak menanduk masuk gol pembukaan pada minit ke-22.
Tersentak dengan jaringan tersebut, KDN FC berusaha untuk memperkemaskan jentera serangan bagi merapatkan kedudukan pada awal babak kedua.
Namun, pasukan pelawat tidak mempunyai masalah untuk mengekang segala asakan dengan penjaga gol, Ramadan Hamid turut cemerlang menyelamatkan percubaan Kijang Emas.
Kealpaan benteng KDN FC digunakan sebaiknya oleh Azfar Fikri untuk menambah jaringan buat Perak apabila meledak gol kedua pasukan pada minit ke-81.
Pemain muda, Daniel Hakimi memastikan Perak meraih bekalan selesa apabila meledak gol ketiga menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan dengan keputusan kekal sehingga wisel penamat.
Aksi kedua pusingan 16 terbaik dijadualkan pada 30 November depan di Stadium Manjung. – KOSMO! ONLINE