SKUAD Kuching City percaya masih terlalu awal untuk pasukan meletakkan kaki ke peringkat suku akhir selepas menewaskan Penang FC 1-0 pada pada aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Bandaraya semalam.
Ketua jurulatih The Cats, Aidil Sharin Sahak berkata, kemenangan semalam tidak mudah dicapai kerana keadaan padang berada dalam keadaan yang kurang memuaskan.
Namun, Aidil masih berbangga dengan barisan pemain yang menguasai perlawanan dengan baik sejak awal perlawanan meskipun tanpa tonggak import mereka, Moses Atede yang tidak diletakkan dalam kesebelasan utama.
“Ini bukanlah perlawanan yang mudah dengan keadaan padang yang becak disebabkan hujan berterusan. Pujian wajar diberikan kepada pemain kerana masih mampu berikan yang terbaik.
“Meskipun tanpa Atede pada babak pertama, pasukan masih kekalkan corak permainan menarik hingga kita dapat satu gol dan apabila Moses masuk, kita nampak mereka lebih kreatif mencipta lebih banyak peluang jaringan.
“Cuma kalau kita dapat tukar dua atau tiga peluang itu kepada gol, lagi baik sebagai bekalan untuk kita bawa pulang ke Kuching,” katanya selepas tamat perlawanan.
Pada aksi itu, Kuching berjaya meraih gol tunggal menerusi ledakan Ramadhan Saifullah dengan aksi kedua dijadualkan berlangsung pada 30 November depan di Stadium Negeri, Sarawak. – KOSMO! ONLINE