PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berpandangan langkah mengurangkan waktu bekerja seperti dicadangkan kerajaan Johor tidak akan menjejaskan kualiti dan produktiviti sektor awam.
Presidennya, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, inisiatif Johor itu sebaliknya dapat mentranformasi sistem penyampaian perkhidmatan awam menjadi lebih cekap selari dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan produktiviti dan menambah baik sistem penyampaian sedia ada.
“Cuepacs menyambut baik dan menyokong langkah Kerajaan Negeri Johor yang bercadang mahu melaksanakan perubahan waktu bekerja sektor awam di negeri itu kepada empat hari setengah.
“Langkah memendekkan waktu bekerja bukanlah suatu perkara yang patut dilihat daripada sudut negatif kerana ia telah pun dilaksanakan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pada 1 Januari 2023, kerajaan melalui Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) menetapkan tempoh waktu bekerja dikurangkan kepada 45 jam berbanding 48 jam seminggu.
“Pengurangan waktu bekerja sedikit pun tidak menjejaskan produktiviti di semua sektor termasuk sektor awam kerana pelbagai langkah telah diambil dan diselaraskan untuk memastikan kualiti produktiviti terus ditingkatkan.
“Menerusi proses dan sistem teratur yang dilaksanakan kelak, Cuepacs yakin waktu bekerja yang pendek benar-benar akan membawa kepada peningkatan produktiviti kerana para pekerja yang berasa bersemangat dan dihargai,” ujarnya.
Tambah Adnan, pihaknya yakin melalui langkah pendigitalan kerajaan disamping agenda mereformasi perkhidmatan awam melalui aspirasi Malaysia Madani tidak akan menjejaskan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Cuepacs juga yakin penjawat awam akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dalam apa jua keadaan sekali pun,” katanya.
Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan, Johor sedang meneliti cadangan perubahan waktu bekerja sektor awam di negeri itu kepada hanya empat hari setengah seminggu.
Katanya, ia susulan pelaksanaan cuti hujung minggu yang diubah semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025. – KOSMO! ONLINE