SETIAP tahun, 15 juta orang di seluruh dunia mengalami strok, dengan lima juta kematian dan lima juta lagi menghadapi kecacatan kekal.
Tanpa tindakan pencegahan, satu daripada empat rakyat Malaysia mungkin mengalami strok menjelang 2040.
Strok adalah kecemasan perubatan yang dapat mengubah kehidupan dalam sekelip mata.
Namun, diagnosis, rawatan dan intervensi neurologi tepat pada masanya dapat meningkatkan hasil serta kualiti hidup dengan ketara.
Pakar Perunding Bedah Saraf di Pusat Perubatan Bukit Tinggi (BTMC), Dr. Puneet Nandrajog berkata, pengesanan awal dan rawatan segera sangat penting ketika menangani strok, terutama ketika diperlukan campur tangan pembedahan.
“Bertindak dengan cepat secara drastik dapat meningkatkan pemulihan pesakit dan kualiti hidup.
“Ini menunjukkan betapa penting pengesanan awal dalam menguruskan strok secara berkesan, terutamanya apabila pembedahan perlu untuk mengurangkan kerosakan serta meningkatkan hasil pemulihan.
“Intervensi pembedahan saraf pada waktu yang tepat, sama ada untuk iskemia atau strok berdarah boleh memberikan perbezaan dalam keseluruhan pemulihan dan kecacatan jangka panjang,” katanya.
Dalam pada itu, strok dikategorikan kepada dua jenis utama, iskemia dan hemoragik.
Strok iskemia membentuk kira-kira 87 peratus kes. Ia berlaku apabila saluran darah yang membekalkan otak telah tersumbat, biasanya oleh darah beku.
Penyumbatan ini menghalang otak dari menerima darah dan oksigen yang diperlukan.
Strok hemoragik pula berlaku apabila saluran darah di dalam atau di sekitar otak pecah hingga menyebabkan pendarahan yang merosakkan tisu otak. Pengumpulan darah akan meningkatkan tekanan di dalam tengkorak sehingga menyebabkan kerosakan lebih lanjut pada sel-sel otak.
Jenis strok secara signifikan mempengaruhi strategi rawatan. Ini kerana, strok iskemia dan hemoragik memerlukan intervensi yang sangat berbeza.
Diagnosis awal dan tepat juga penting kerana ia membantu dalam membimbing pendekatan rawatan yang sesuai, sama ada penyingkiran darah beku untuk strok iskemik atau campur tangan pembedahan untuk strok hemoragik.
Mengenali gejala strok dengan cepat dan tepat adalah kritikal kerana ia dapat meningkatkan hasil secara dramatik untuk pesakit.
Gejala strok sering muncul secara tiba-tiba dan petunjuk yang paling biasa seperti berasa lemah atau kebas, terutamanya di satu sisi badan, percakapan tidak jelas, wajah terkulai atau asimetri dan kehilangan atau tidak sedarkan diri.
Tanda-tanda lain mungkin termasuk kekeliruan, kesukaran memahami pertuturan, masalah penglihatan pada satu atau kedua-dua mata, dan kesukaran dengan koordinasi atau keseimbangan. Mengenali gejala ini lebih awal adalah kunci utama kerana strok adalah perlumbaan melawan masa.
Dr. Puneet menjelaskan, apabila seseorang mengalami strok, setiap detik sangat penting.
“Semakin cepat kita dapat memulakan rawatan, semakin banyak fungsi otak yang dapat kita pelihara.
“Setiap minit penting, kerana intervensi awal dapat mengurangkan tahap kerosakan otak secara drastik,” katanya.
Pengesanan segera dan tindakan pantas dalam membawa pesakit ke hospital boleh menyelamatkan nyawa, mencegah hasil lebih teruk seperti kecacatan jangka panjang atau kematian.
Sementara itu, terdapat beberapa risiko yang meningkatkan kemungkinan seseorang berhadapan dengan strok.
Risiko utama termasuk hipertensi, dislipidemia, diabetes dan merokok kerana boleh merosakkan saluran darah.
Keadaan jantung seperti fibrilasi atrium serta pengambilan alkohol yang berlebihan dan gaya hidup tidak aktif boleh meningkatkan risiko.
“Trend terkini juga menunjukkan peningkatan strok dalam kalangan penduduk muda di Malaysia.
“Jadi, menguruskan faktor risiko melalui pemeriksaan kesihatan secara berkala dan perubahan gaya hidup sangat penting dalam mengurangkan risiko strok,” kata Dr. Puneet.
Dalam pada itu, setelah strok dikenal pasti, proses diagnostik mesti dimulakan dengan segera untuk menentukan jenis strok dan pendekatan rawatan terbaik.
Dr. Puneet berkata, imbasan Tomografi Berkomputer atau CT dapat mengesan strok hemoragik dengan cepat melalui cara pendarahan di dalam atau sekitar otak.
“Imbasan CT adalah ‘alat’ pertama kami dalam keadaan kecemasan kerana ia cepat dan mudah didapati.
“Langkah ini juga memberikan kami maklumat penting sama ada strok adalah hemoragik atau tidak.
“Bagaimanapun untuk strok iskemia, yang mana darah beku menyekat aliran darah ke otak, pengimejan lebih terperinci diperlukan. Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) menawarkan perincian lebih baik bagi membolehkan pengesanan kawasan iskemia lebih kecil yang mungkin tidak dapat dilihat pada imbasan,” jelasnya.
Tambahnya, imbasan CT menawarkan pengimejan cepat ke dalam strok hemoragik, tetapi MRI adalah penting untuk mengenal pasti strok iskemia awal.
Ini membantu doktor membuat keputusan yang tepat mengenai rawatan sesuai, terutamanya dalam kes lebih kecil atau lebih kompleks.
Alat diagnostik ini penting dalam menilai tahap keterukan dan lokasi strok dengan cepat. Selain itu, pasukan perubatan dapat menyediakan perjalanan rawatan berkesan, sama ada menggunakan ubat pencair darah beku, intervensi pembedahan atau terapi lain.
Sebaik sahaja strok didiagnosis, langkah berikutnya adalah menentukan rawatan yang paling berkesan.
Pembedahan saraf memainkan peranan penting dalam proses ini terutamanya untuk kes-kes teruk.
Pembedahan saraf memainkan peranan penting dalam fasa akut rawatan strok dan pemulihan jangka panjang.
Rawatan utama untuk strok iskemia adalah trombolisis yang melibatkan suntikan ubat ke dalam saluran darah untuk mencairkan darah beku.
Pilihan lain untuk merawat strok iskemia adalah trombektomi iaitu prosedur yang boleh dilakukan dengan atau tanpa angioplasti untuk mengeluarkan darah beku secara langsung dari arteri tersumbat.
Dalam kes strok iskemia yang besar, decompressive craniectomy mungkin diperlukan untuk mengurangkan tekanan pada otak dan mencegah kerosakan lebih lanjut.
“Salah satu rawatan yang paling kritikal untuk strok iskemia adalah trombolisis yang melibatkan pemberian ubat pencair darah beku.
“Bagaimanapun, selalu ada risiko pendarahan intrakranial yang mungkin memerlukan campur tangan pembedahan lebih lanjut,” jelasnya.
Untuk strok hemoragik, rawatan boleh dibahagikan kepada pendekatan pembedahan dan tanpa pembedahan.
Rawatan tanpa pembedahan memberi tumpuan kepada mengawal tekanan darah dan menstabilkan pesakit, manakala pilihan pembedahan berbeza-beza bergantung kepada jenis strok hemoragik.