fbpx

MotoGP: Bagnaia teruja jentera Ducati GP25

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BAGNAIA berpuas hati dengan jentera baharunya sewaktu sesi ujian pertama di Barcelona kelmarin. - DUCATI CORSE

BARCELONA – Pelumba Itali, Francesco Bagnaia teruja dengan jentera baharu Desmosedici GP25 yang bakal digunakannya tahun depan selepas melakukan ujian pertamanya bersama Ducati di Litar Antarabangsa Barcelona-Catalunya kelmarin.

Bagnaia yang meraih 11 kemenangan pada musim ini bersama jentera GP24, berjaya menyelesaikan 56 pusingan dalam ujian sehari tersebut dan dapat merasai perbezaan besar antara Ducati GP25 dan model GP24.

Walaupun GP25 yang diuji masih berada di peringkat pembangunan, namun Bagnaia mengakui terkesan dengan potensi besar motosikal tersebut dan yakin pasukannya itu akan melakukan penambahbaikan menjelang ujian di Malaysia pada Februari depan.

“Secara keseluruhannya, kami menguji beberapa perkara hari ini dan saya rasa GP25 adalah asas yang sangat baik untuk kami mulakan pembangunan dan penambahbaikan

“Kami dan pasukan jurutera akan bekerja keras sepanjang musim sejuk untuk memastikan kami dapat memaksimumkan potensi motosikal ini sebelum bermula musim 2025 nanti,” kata Bagnaia.

Begitupun, Bagnaia turut menyatakan masih ada beberapa aspek perlu diperbaiki pada jentera GP25, terutamanya dalam aspek pengendalian brek di mana GP24 lebih baik pada penghujung musim lalu.

“GP24 lebih baik menerusi cengkaman brek. Saya banyak meningkatkan kemahiran dengan brek pada GP24, tetapi GP25 memiliki kestabilan yang sangat baik terutama di selekoh laju dan ketika menggunakan tayar terpakai. Enjin GP25 juga sangat kuat dan cepat,” tambahnya.

Sebagai rekod, Bagnaia menamatkan aksi dengan catatan masa 0.595 saat lebih perlahan berbanding pelumba satelit Ducati, Gresini Racing apabila Alex Marquez mencatat masa terbaik pada ujian tersebut. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI