BESUT – Mayat lelaki yang dipercayai terjun dari Jambatan Jerteh di sini, kelmarin ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di dalam Sungai Besut, hari ini dalam keadaan terapung pada permukaan sungai pada pukul 4 petang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md. Sani Md. Saleh berkata, mayat lelaki berkenaan dijumpai kira-kira lima kilometer dari Jambatan Jerteh.
“Setakat ini identiti mangsa masih belum dikenal pasti. Mayatnya telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut di sini untuk tindakan lanjut. Proses pengecaman mangsa juga akan dilakukan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, di sini hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan pengguna Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu gempar apabila seorang lelaki didakwa tiba-tiba terjun dari Jambatan Jertih pada pukul 5.30 petang kelmarin. – KOSMO! ONLINE