SARIKE – Kemalangan yang mengorbankan lapan lelaki di Lebuhraya Pan Borneo di sini semalam berlaku selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang dinaiki mangsa cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan anggota Unit Kereta Peronda (MPV).
Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Aswandy Anis berkata, nahas berlaku apabila Perodua Alza tersebut dalam perjalanan dari arah Kuching memasuki laluan bertentangan ketika dikejar MPV.
“Sebaik sampai di Jambatan Sungai Nyelong, Lebuhraya Lan Borneo, Perodua Alza itu bertembung dengan trak pikap Toyota Hilux yang dinaiki lelaki dan wanita.
“Ekoran kemalangan itu, pemandu Perodua Alza dan kesemua penumpang terdiri daripada tujuh rakyat Indonesia dan seorang rakyat tempatan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan dari Hospital Sarikei.
“Pemandu dan penumpang Toyota Hilux masing-masing seorang lelaki cedera ringan manakala wanita pula mengalami kecederaan dalaman. Saya difahamkan dia mungkin menjalani pembedahan di Hospital Sarikei,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sarikei, di sini hari ini.
Mangsa yang berusia 16 hingga 53 tahun dihantar ke Hospital Sarikei untuk dibedah siasat.
Aswandy berkata, pihaknya sudah berhubung dengan Konsulat Indonesia di Kuching untuk mengenal pasti identiti kesemua warga Indonesia tersebut.
“Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti sama ada tujuh warga Indonesia itu masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak sah atau tidak,” katanya. – KOSMOZ! ONLINE