fbpx

Lans Koperal polis mengaku tidak salah curi barang kemas orang mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Alifah (kiri) ketika hadir di Mahkamah Majistret hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seorang polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri dua barang kemas milik seorang wanita yang meninggal dunia dalam kereta awal bulan lalu.

Tertuduh Mohd. Alifah Mohd. Sapie, 35, yang juga bapa lima anak membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret M.S Arunjothy.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Alifah didakwa telah mencuri seutas rantai leher dan seutas rantai tangan milik seorang wanita berusia 26 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan dalam sebuah kereta jenis Proton Saga di tepi Jalan Prima Setapak di sini pukul 2.40 pagi pada 1 Oktober lalu yang didakwa mengikut Seksyen
379 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Vivi’Asnita Zaina’Larifin tidak menawarkan jaminan kerana pertuduhan tersebut tidak boleh dijamin.

“Namun terpulang pada budi bicara sekiranya mahkamah ingin membenarkan tertuduh diikat jamin,” kata Vivi’Asnita.

Bagaimanapun peguam R. Lavinia yang mewakili tertuduh memohon tertuduh diikat jamin dengan jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga termasuk isterinya dan lima orang anak berusia dua hingga 12 tahun.

“Sepanjang siasatan tertuduh juga turut memberikan kerjasama yang baik tanpa gagal,” kata Lavinia.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Arunjothy membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.

Tarikh 22 Januari 2025 ditetapkan sebutan semula kes.

Terdahulu Kosmo! melaporkan empat anggota polis ditahan di sekitar Setapak, di sini berhubung kehilangan barang kemas milik seorang wanita yang meninggal dunia di dalam kereta pada 1 Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI