PETALING JAYA – Terpanggil meluahkan pandangan, pelakon Nora Danish berharap masyarakat tidak merendahkan usaha rakan seperjuangannya iaitu Diana Danielle yang ingin berubah menjadi Muslimah lebih baik.
Kata Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd. Danish Hanif, 42, kesalahan sebenarnya adalah sikap segelintir individu itu sendiri yang suka menghakimi orang sekeliling.
“Tidak salah mereka yang mencari hidayah Allah, tidak kira apa cara sekali pun. Yang salah bagi kita yang senang sangat menghukum.
“Semua itu aturan-Nya, bila tiba masanya mereka inilah yang akan jadi lebih baik daripada kita,” katanya dalam InstaStory.
Perkongsian itu dibuat merujuk kepada luahan Diana atau nama lengkapnya, Diana Danielle Danny Beeson, 32, yang kesal apabila kenyataan ingin lebih mendekatkan kepada Allah dengan bersolat dipertikaikan.
Pada hantaran sama, ibu kepada dua cahaya mata itu turut menegaskan sewajarnya setiap orang mendoakan perkara baik untuk insan sekeliling.
“Allah lihat kualiti bukan kuantiti. Kita sama-sama doakan yang baik boleh?” ujarnya.
Terdahulu, Diana menerusi hantaran di aplikasi Threads menyatakan adalah tidak wajar untuk mana-mana individu berasa pelik dengan perkongsian yang dibuatnya sebelum ini.
Isteri kepada pelakon Farid Kamil itu terkilan apabila ada pihak mengaitkan kewajiban bersolat dengan penampilannya yang belum bertudung. – KOSMO! ONLINE