PETALING JAYA – Menyandang jawatan sebagai Ketua Pegawai Ekskutif (CEO) Karyaloka Studios Sdn. Bhd. tidak menghalang pelawak Ilham Abata untuk meneruskan kerjaya dalam bidang seni.
Kata Ilham atau nama sebenarnya Muhammad Ilham Che Halim, 36, apa yang diperlukan hanyalah pembahagian masa yang betul bagi memberikan keuntungan yang optimum kepada kerjaya dan syarikat.
“Walaupun sibuk dengan syarikat, tetapi saya masih lagi bergerak aktif sebagai pelawak. Begitu juga ketika saya menyertai rancangan Muzikal Lawak Superstar 2024 (MLS2024). Ketka itu saya sudah pun memiliki syarikat ini.
“Memang agak pening sedikit, tetapi insya-Allah dengan izin Allah semua usaha ini akan uruskan dengan baik,” katanya kepada Kosmo! Online.
Mengulas lanjut, Ilham turut memberitahu tidak lagi menerima bayaran terhadap sebarang kegiatan seni atas namanya pada masa hadapan.
Sebaliknya kesemua bayaran itu akan dilakukan secara terus kepada syarikat bagi membantu syarikat untuk menjana pendapatan.
“Tugas saya sebagai CEO sekarang ialah memastikan jenama syarikat dikenali dan pada masa sama memberi keuntungan kepada syarikat.
“Apabila mereka menggunakan khidmat saya sama ada sebagai penulis skrip, pelawak, pengacara majlis atau sebagainya, bayaran itu akan diberikan kepada syarikat. Saya tidak lagi menerima bayaran secara terus lagi selepas ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Karyaloka akan menerbitkan filem pertama bertajuk Dasim Laknat yang akan menampilkan barisan pelakon antaranya Nabila Huda, Datuk Adi Putra dan Fattah Amin selain akan memulakan penggambaran pada Januari 2025. – KOSMO! ONLINE