PUTRAJAYA – Inflasi Malaysia meningkat 1.9 peratus pada Oktober 2024 dengan mata indeks mencatatkan 133.4 berbanding 130.9 pada bulan sama tahun sebelumnya.
Dalam konteks ini, peningkatan inflasi pada Oktober didorong oleh peningkatan lebih tinggi bagi kumpulan utama makanan dan minuman (2.3 peratus), penjagaan diri, perlindungan dan sosial selain pelbagai barangan serta perkhidmatan dengan catatan (3.4 peratus).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, inflasi maklumat dan komunikasi turut menurun kepada 1.7 peratus di mana ia disebabkan oleh penurunan subkumpulan utama perkhidmatan maklumat dan komunikasi pada negatif 1.8 peratus.
“Selain itu, kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan Indeks Harga Pengguna (IHP) turut meningkat 2.3 peratus padaa Oktober 2024.
“Subkumpulan utama makanan di rumah meningkat 0.6 peratus terutamanya disumbangkan oleh inflasi kelas perbelanjaan daging yang merekodkan peningkatan sebanyak 1.4 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Daging ayam segar yang merupakan komponen terbesar dalam merekodkan kenaikan 3.6 peratus pada tempoh tersebut.
Berdasarkan pengumpulan data Jabatan Perangkaan, purata harga ayam standard pada Oktober adalah RM10.63 sekilogram berbanding RM10.02 sekilogram pada Oktober 2023.
“Manakala, purata harga Ayam standard di peringkat Semenanjung Malaysia pada Oktober adalah RM9.68 sekilogram berbanding RM9.32 sekilogram pada Oktober 2023.
“Inflasi kelas perbelanjaan sayur mencatatkan peningkatan 2.7 peratus pada Oktober yang mana antara yang merekodkan peningkatan ketara secara asas tahunan pada Oktober ialah kacang buncis (9.8 peratus), kubis panjang (9.5 peratus) dan bayam hijau (9 peratus),” katanya. – KOSMO! ONLINE