fbpx

Hujan berterusan, penduduk Rantau Panjang siap sedia untuk berpindah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mek Yam bersedia untuk berpindah ke PPS jika rumahnya di Kampung Bendang Perol, Rantau Panjang terus dinaiki air. FOTO ROHANA ISMAIL/ KOSMO!

RANTAU PANJANG – Hujan berterusan sejak malam tadi menyebabkan penduduk di Kampung Bendang Perol di sini mula berkemas selepas kawasan rumah mereka digenangi air akibat limpahan Sungai Lanchang hari ini.

Seorang penduduk, Mek Yam Ahamad, 82, berkata, air naik mendadak pagi tadi ekoran hujan lebat sejak malam tari sehingga pekarangan rumahnya digenangi air setinggi 0.3 meter.

Menurutnya, dia sudah membuat persiapan awal dan tujuh keluarga di Kampung Bendang Perol mungkin akan berpindah pusat pemindahan sementara (PPS) jika hujan tidak berhenti sehingga petang ini.

“Air banjir pada musim tengkujuh selalunya naik waktu malam, tetapi saya akan berpindah awal kerana perlu berjalan kaki sejauh 800 meter untuk keluar ke jalan utama. Saya juga sakit lutut dan tidak larat berjalan jauh,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Zuraisham Hassan, 36, berkata, banjir akan berlaku bila-bila masa jika air Sungai Lanchang yang terletak berhampiran Sungai Golok melimpah.

“Semua dokumen dan barang elektrik sudah disimpan di tempat tinggi. Saya dan keluarga tidak membeli barangan keperluan dapur untuk bekalan banjir kerana kami akan berpindah ke PPS nanti,” ujarnya.

Buat masa ini, tiada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di Kelantan meskipun tiga sungai utama iaitu Sungai Melor di Kota Bharu, Sungai Golok (Rantau Panjang) dan Sungai Semerak (Pasir Puteh) berada pada paras amaran susulan hujan berterusan sejak malam tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI