fbpx

GV11: Bintang tular vs artis malar segar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
14 peserta akan bersaing selama 12 minggu bagi merebut gelaran juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 di pentas GV11.

MEMASUKI musim ke-11, program realiti muzik terkenal Gegar Vaganza (GV11) bakal mewarnai industri hiburan tanah air dengan menampilkan barisan bintang popular dari tiga negara. 

Lebih menarik, nama besar Ning Baizura, Liza Aziz, Ronnie Hussein, Inka Christie, Dadali Dyrga dan Yazid Lovehunters menjadi taruhan dalam GV kali ini. 

Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu, Astro, Raqim Ahmad berkata, program tersebut mengembalikan format asal iaitu menampilkan penyanyi yang pernah tular atau memiliki karya malar segar sehingga ke hari ini. 

“GV11 akan kembali kepada format asal iaitu memberi peluang kepada penyanyi yang sudah lama tidak membuat kemunculan semula dalam industri. Sebelum ini kita telah menggabungkan penyanyi yang masih aktif dalam industri, tetapi reaksi peminat pula berbeza.

“Mereka mahu Gegar Vaganza kembali dengan format asal iaitu mengetengahkan penyanyi yang mempunyai lagu ‘one hit wonder’. Jadi kita akur,” katanya. 

Bagi Sheila Abdull yang sebelum ini popular dengan lagu Mungkinkah, penyertaannya dalam GV11 secara tidak langsung membuka peluang kepadanya untuk kembali aktif dalam arus perdana.       

Biarpun perlu bersaing dengan artis kegemarannya, Sheila tidak menjadikan perkara itu alasan untuk dia mengalah sebelum berjuang. 

“Saya anggap bertanding dengan nama besar seperti Ning Baizura dan Liza Aziz sebagai satu penghormatan. Adat pertandingan, saya akan cuba berikan yang terbaik pada setiap persembahan. 

“Fokus saya adalah untuk memberikan kualiti nyanyian yang baik kepada penonton. Tambahan zaman sekarang ini komen bukan hanya datang daripada juri, tetapi warga maya juga memberikan pandangan mereka. 

“Insya-Allah saya sudah bersedia mental dan fizikal untuk menyahut cabaran pertandingan, komen dan reaksi penonton,” katanya. 

SHEILA Abdull harap pentas GV11 beri peluang kedua untuk dikenali semula dalam industri.

Perasaan sama turut dikongsi vokalis kumpulan rock popular era 1990-an, Nai Dinamik yang mengharapkan pentas GV11 menjadi pembuka jalan kepadanya untuk kembali aktif dalam industri seni. 

Katanya, setelah beberapa tahun memberi fokus kepada keluarga dan membesarkan lima anak, hatinya terbuka untuk menyahut cabaran stesen televisyen. 

“Dulu anak-anak masih kecil dan memerlukan perhatian. Disebabkan itu saya banyak membuat persembahan di Sabah dan Sarawak. Kini apabila anak semua sudah besar, saya fikir inilah masa sesuai untuk kembali aktif semula,” jelasnya. 

Biarpun teruja membuat kemunculan sulung di pentas GV11 pada 24 November ini, Nai bagaimanapun berkata, anak sulungnya pernah melarang menyertai program televisyen popular itu. 

“Mula-mula anak saya larang kerana bimbang nanti akan dikritik netizen. Maklum sahaja zaman sekarang komen netizen tak mampu kita kawal. 

“Tetapi selepas dipujuk dan berbincang dengan stesen televisyen, dia akhirnya setuju dan harap saya gembira menyertai GV11,” ujarnya. 

Peserta lain yang turut bertanding terdiri daripada Reshmonu, kumpulan The Lima, Dyrga Dadal, Illa Sabry, Fairuz Selamat, Arrora Salwa dan Zehra Zambri.

Kesemua 14 peserta akan bersaing selama 12 minggu bagi merebut gelaran juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000. 

Gandingan pelawak Nabil Ahmad dan Jihan Muse kekal sebagai pengacara, sementara Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat serta Hetty Koes Endang bertindak selaku juri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI