SHAH ALAM – Cubaan dua lelaki berusia 49 dan 31 tahun mencuri kabel pencawang elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Seksyen 6 di sini, memakan diri apabila cedera melecur, hari ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan insiden itu daripada wakil TNB, kira-kira pukul 12.17 tengah hari.
Jelas beliau, siasatan mendapati dua suspek menceroboh masuk ke dalam kawasan pencawang elektrik berkenaan menyebabkan mereka melecur di muka, tangan dan kaki akibat terkena letupan.
“Mereka cuba memotong kabel hingga menyebabkan berlaku letupan dan kebakaran. Kedua-dua suspek yang cedera dikejarkan ke Hospital Shah Alam bagi rawatan lanjut dan berada dalam keadaan stabil,” katanya, malam ini.
Menurut Mohd. Iqbal, kejadian itu juga menyebabkan gangguan sistem bekalan elektrik di sekitar lokasi tersebut dengan anggaran kerugian berjumlah RM350,000 bagi kos pembaikan dan pemasangan semula kabel.
“Pemeriksaan turut menemukan peralatan pemotong kabel di lokasi kejadian. Semakan mendapati dua lelaki itu masing-masing mempunyai 10 dan 21 rekod jenayah lampau. – KOSMO! ONLINE