ALOR SETAR – DSAT Group bersedia membuat pertimbangan untuk syarikat berkenaan memiliki kelab bola sepak Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) yang turut berdepan isu tunggakan gaji ketika ini.
Menurut Pengerusi Eksekutif DSAT, Datuk Seri Azizul Tandek, pertimbangan itu akan dibuat setelah selesai urusan menyaman Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berikutan kenyataan dikeluarkan Menteri Besar Kedah yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) itu, baru-baru ini.
Azizul berkata, pihak syarikat juga sedang menanti surat balas dari Sabah FC mengenai kemungkinan untuk mengambil alih kelab berpengaruh dari Borneo itu.
“Kami akan pertimbangkan tawaran membeli KL Rovers setelah selesai urusan saman dengan Menteri Besar. Buat masa ini juga kami sedang menunggu jawapan balas dari Sabah FC, selepas surat diutuskan melalui Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Rudy Awah sebelum ini.
“Kami sentiasa mendoakan urusan KL Rovers agar dipermudahkan segala urusan. Semoga semua pihak dapat menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin bagi menyelesaikan segala isu dalam pasukan ketika ini,” katanya kepada Kosmo!.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar sebelum ini membuka peluang kepada Azizul bagi mendapatkan KL Rovers yang harga jualannya dianggarkan hanya RM3.5 juta termasuk tunggakan gaji.
Menurut Syed Yazid, angka itu jauh lebih rendah berbanding jumlah perlu ditanggung Azizul sekiranya beliau mahu memiliki KDA FC dengan DSAT diminta untuk menghantar surat hasrat (LOI). – KOSMO! ONLINE