TELUK INTAN – Seorang doktor perubatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan merakam video punggung wanita pada Julai lalu.
Tertuduh, Amirul Haqim Ayub, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mengaibkan kesantunan seorang pekerja kedai penjagaan kecantikan dan kesihatan berusia 27 tahun dengan cara merakam video punggung dan bahagian badan mangsa menggunakan telefon bimbit.
Perbuatan tersebut dilakukannya di sebuah kedai tempat mangsa bekerja di dalam sebuah pasar raya di Jalan Changkat Jong, dekat sini, jam 6.30 petang pada 12 Julai lalu.
Majistret Naidatul Athirah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.
Dalam pada itu, mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes pada 30 Disember depan untuk lantikan peguam dan urusan serahan dokumen.
Berdasarkan laporan polis, kejadian itu berlaku semasa mangsa sedang menyusun barangan di kedai tempatnya bekerja dan pemeriksaan televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati tertuduh mendekati dan merakam video punggung mangsa. – KOSMO! ONLINE