KUALA TERENGGANU – Besut dan Dungun menjadi daerah terbaharu yang dilanda banjir hari ini selepas Kemaman, Setiu dan Marang.
Setakat ini, mangsa di kelima-lima daerah tersebut meningkat kepada 221 orang daripada 53 keluarga. Kesemua mereka ditempatkan di 10 buah pusat pemindahan sementara (PPS).
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Marang menjadi daerah paling terjejas melibatkan 114 mangsa daripada 30 keluarga yang berlindung di tiga PPS.
“Seramai 59 mangsa daripada 11 keluarga pula berada di tiga PPS di Dungun. Sebanyak tiga PPS menempatkan 32 mangsa daripada lapan keluarga di Kemaman,” katanya di sini, hari ini.
Menurut jurucakap itu, Besut pula merekodkan 15 mangsa daripada tiga keluarga yang ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Pantai.
Sebuah PPS iaitu Balai Raya Kampung Bintang menempatkan seorang mangsa. – KOSMO! ONLINE