IPOH – Seramai 66 orang mangsa terjejas dan dipindahkan kerana bencana banjir di daerah Larut Matang dan Selama, akibat hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di negeri ini semalam.
Mereka semua daripada 23 keluarga yang tinggal di Kampung Simpang Halt, dekat Taiping dan terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Simpang Halt sejak pukul 10 malam tadi.
Menurut ramalan Jabatan Meteorologi, hampir kesemua daerah di Perak akan mengalami ribut dan hujan sepanjang hari ini.
Pada masa sama, mengikut jadual data aras air sungai dan status empangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan paras air Sungai Rui di Jambatan Jalan Raya Perak di Hulu Perak berada pada paras amaran iaitu setinggi 165.55 meter berbanding paras normal 165.10 meter.
TNB yang memantau Stesen Janakuasa Chenderoh sebelum ini telah mengambil langkah persediaan untuk menerima jumlah taburan hujan yang lebih tinggi pada penghujung tahun ini. – KOSMO! ONLINE