fbpx

Arsenal guna taktik ‘Odegaard 2.0’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GULER

MADRID – Gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal berhasrat mengambil kesempatan terhadap ‘permasalahan’ dialami Real Madrid berhubung kekecewaan bintang mudanya, Arda Guler terhadap minit permainan bersama juara Sepanyol itu.

The Gunners dikatakan mahu ‘memancing’ Real dengan menawarkan peluang bermain buat pemain tengah menyerang berusia 19 tahun itu secara pinjaman sebaik jendela perpindahan kembali dibuka pada Januari ini.

Tindakan itu sebenarnya dilihat sebagai jalan mudah buat Arsenal untuk membeli Guler secara tetap dengan harga lebih rendah selepas ini seperti pernah mereka lakukan ketika mendapatkan Martin Odegaard daripada Real pada 2015.

Ketika itu, Odegaard, 25, langsung tidak mendapat peluang bermain di Santiago Bernabeu disebabkan lambakan pemain tengah seperti Toni Kroos, Luka Modric dan Casemiro menyebabkan dia dipinjamkan keluar selama empat musim berturut-turut.

GULER bergelut untuk mendapatkan lebih banyak minit permainan bersama Real ketika ini. – AFP

Akhirnya Arsenal memanfaatkan kesempatan itu dengan meminjam Odegaard sebelum membelinya secara tetap dengan harga €40 juta (RM188.81 juta) enam bulan kemudian.

Percaturan itu membuahkan hasil lumayan kerana Odegaard menyinar di bawah bimbingan Mikel Arteta sehingga dilantik sebagai kapten Arsenal.

Sehubungan itu, Arsenal mahu mencuba ‘modus operandi’ sama dengan membawa masuk Guler yang kini terdesak untuk bermain secara kerap agar tidak kehilangan tempatnya dalam skuad antarabangsa Turkiye.

Sejak dibeli daripada Fenerbahce tahun lalu, Guler hanya bermain 747 minit bersama skuad utama Real daripada 24 perlawanan dalam semua kejohanan, namun masih berupaya meledak enam gol La Liga pada musim lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI