KUALA LUMPUR – Peluang beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk melayakkan diri ke Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir 2024 semakin sukar selepas mereka tersingkir di pusingan suku akhir China Masters di Shenzhen, hari ini.
Pasangan nombor lima dunia itu menghadapi tentangan sengit daripada beregu tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu yang akhirnya menewaskan mereka dengan keputusan 23-25, 21-17, 12-21 dalam tempoh 73 minit.
Kegagalan tersebut memberi kesan besar terhadap peluang gandingan negara itu untuk layak ke Jelajah Dunia Akhir kerana hanya lapan pasangan terbaik dalam ranking Jelajah Dunia layak beraksi di kejohanan akhir musim itu dan pasangan utama negara itu berada di kedudukan kesembilan dalam ranking Jelajah Dunia.
Bagi Wooi Yik, mereka sebenarnya mahukan kemenangan tetapi melakukan beberapa kesilapan pada set pertama perlawanan hingga menjejaskan peluang mereka untuk kembali menguasai saingan tersebut.
“Ya, kami sangat mahukan kemenangan dalam perlawanan pertama untuk mengawal permainan dan sebenarnya kami bermain dengan baik dalam perlawanan pertama, tetapi ada beberapa mata penting yang kami tidak dapat kuasai sepenuhnya.
“Saya rasa, sangat penting untuk kami menang perlawanan pertama itu, kerana ia boleh membawa perbezaan besar kepada kami. Mengenai Jelajah Dunia Akhir, walaupun kalah pusingan ini, kami berharap yang terbaik. Jika kami layak, kami akan memberikan yang terbaik,” kata Wooi Yik kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.
Sementara itu, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah turut berdepan nasib yang sama apabila tersingkir di pusingan suku akhir China Masters 2024.
Biarpun menunjukkan semangat juang yang tinggi, Pearly-Thinaah tewas kepada beregu nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning di Shenzhen 16-21, 17-21. Meskipun tewas, Pearly-Thinaah sudah pun mengesahkan tiket beraksi di Hangzhou. -KOSMO! ONLINE