KUALA LUMPUR – Lebih 700 naskhah al-Quran dengan perakuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) disediakan kepada orang ramai yang berminat untuk menukar kitab mereka pada Program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024.
Pembantu Penguat Kuasa Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Che Ku Zainun Mohd. berkata, pengunjung hanya perlu membawa al-Quran lama dan tiada perakuan daripada KDN untuk ditukarkan dengan al-Quran baharu secara percuma di kaunter rerurai KDN.
“Sepanjang tiga hari ini, kita menyasarkan kira-kira 250 naskhah al-Quran ditukarkan kepada kita. Setakat petang ini (semalam), sebanyak 25 naskhah al-Quran lama dan tiada perakuan KDN telah diserahkan kepada kita.
“Sebagai contoh, ada individu bawa lima naskhah al-Quran tiada perakuan dan kita serahkan kepadanya lima naskhah baharu al-Quran,” katanya ketika ditemui di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.
Beliau berkata, selain penukaran al-Quran dengan perakuan KDN, pihaknya turut menerima kitab suci itu yang lama serta telah rosak untuk dilupuskan mengikut prosedur.
Ujarnya lagi, al-Quran yang tidak diperakui oleh KDN dikhuatiri mempunyai kesalahan antaranya berkaitan tajwid, baris, titik dan sebagainya sekali gus menyebabkan pembaca melakukan kesilapan ketika mengaji.
“Al-Quran yang diperakui KDN ini mempunyai cop dan pelekat hologram KDN. Apabila diimbas, terdapat maklumat berkaitan dan ini menunjukkan, al-Quran itu telah disemak sepenuhnya oleh jawatankuasa,” katanya.
Terdahulu, KDN mempelawa orang ramai menyerahkan al-Quran tiada perakuan KDN atau rosak untuk diganti dengan yang baharu sempena Program 2TM yang bermula semalam hingga Ahad. – KOSMO! ONLINE