SEBERANG PERAI – Empat lelaki terdiri daripada dua rakyat tempatan dan dua warga asing didakwa di Mahkamah Majistret Butterworth di sini hari ini atas pertuduhan menculik dua lelaki di sebuah tapak pembinaan, minggu lalu.
Bagaimanapun, hanya dua tertuduh iaitu Habizur Rahman Abul Jamil, 27 dan rakan senegaranya, Abdullah Abu Jamil, 38 sahaja yang mengaku bersalah manakala dua tertuduh rakyat tempatan, Hadzri Abd Hamid, 40 dan Azri Shahrizal Abd Rahman, 41, tidak mengaku bersalah.
Pertuduhan ke atas mereka dilakukan dihadapan Penolong Pendaftar, Penolong Pendaftar, Mohamad Azrul Muhd. Sobri.
Mengikut pertuduhan, mereka telah menculik dua lelaki warga asing dengan niat supaya individu tersebut dikurung secara rahsia dan salah di Tapak Pembinaan Petronas Telok Ayer Tawar, Seberang Perai Utara, kira-kira pukul 8.30 malam, 13 November lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Airina Syazreen Zainurin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan sebarang ikat jamin ke atas dua tertuduh warga asing manakala dua lagi lelaki warga tempatan diberi jaminan sebanyak RM5,000 seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Disember depan sebagai sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE