KUALA LUMPUR – Program Walkabout Polis Kuala Lumpur berjaya mendekati masyarakat selain mewujudkan kesedaran jenayah dalam kalangan peniaga serta penduduk yang hadir di Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah (KPD) Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, program itu juga mendedahkan kepada masyarakat berkaitan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) serta penggunaannya kepada masyarakat.
“Program ini juga memberi pendedahan kepada masyarakat tentang ‘Bahaya Scammer’ serta pencegahannya.
“Selain mendekati masyarakat serta mendengar permasalahan, kita turut memberi nasihat keselamatan kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program yang dihadiri Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob bersama barisan KPD lain.
Dalam program itu juga, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Jasni Zolpa bertindak sebagai wakil bagi menjawab persoalan serta aduan yang diajukan penduduk.
Beberapa penduduk tampil membuat aduan berkaitan kereta buruk yang tersadai di kawasan sekitar serta motosikal yang terbiar di tepi jalan raya selepas terbabit kemalangan.
Menurut salah seorang penduduk, fenomena sedemikian seolah-olah mencacatkan pemandangan di samping berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya dengan segera.
Selain itu, penduduk juga membuat rungutan berkaitan warga asing di kawasan sekitar yang gagal mematuhi peraturan serta keselamatan di jalan raya. -KOSMO! ONLINE.