LUMUT – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyelamatkan empat nelayan asing dari Tanjung Balai, Indonesia yang hanyut selama beberapa hari di perairan Selat Melaka tengah hari semalam.
Kesemua nelayan itu hanyut selepas bot dinaiki mereka karam akibat dilanggar kapal dagang ketika menangkap ikan di perairan Indonesia.
Menurut Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat Pangkalan TLDM Lumut, mangsa ditemui oleh bot nelayan tempatan berhampiran perairan Pulau Jarak pada pukul 1.40 tengah hari.
“Nelayan itu seterusnya dibawa ke Pulau Jarak oleh bot nelayan tempatan sebelum diserahkan kepada Stesen Jarak TLDM untuk menerima rawatan awal,” jelas kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE