BEREGU lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mengakui sudah belajar sesuatu sepanjang saingan musim ini bagi memantapkan lagi permainan mereka setiap kali turun ke gelanggang.
Ia dapat dibuktikan ketika mereka bangkit mencatat kemenangan 21-23, 21-14, 21-13 ke atas beregu Jepun, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura pada pusingan pertama Kejohanan Badminton China Masters di Shenzhen kelmarin.
Meskipun memulakan perlawanan tidak seperti diharapkan, namun juara Terbuka China itu berjaya mengembalikan fokus sebelum mencatat kemenangan, sekali gus meneruskan kemaraan ke pusingan kedua.
Izzuddin berkata, mereka kini sudah mampu berdepan tekanan dalam setiap perlawanan dan tahu cara untuk mencatat kemenangan meskipun dia dan Sze Fei tidak dapat menampilkan aksi terbaik.
“Saya fikir salah satu perkara yang kami sudah belajar daripada kejohanan-kejohanan terdahulu adalah bagaimana untuk memenangi perlawanan walaupun tidak berada pada prestasi terbaik,” katanya.
Sebagai rekod, gandingan No. 8 dunia itu menampilkan aksi cukup baik dalam beberapa kejohanan terdahulu termasuk ketika meraih dua kejuaraan berturut-turut, Terbuka China pada September lalu dan Terbuka Arctic bulan lepas.
Selain itu, Sze Fei-Izzuddin juga sudah mengesahkan kemaraan ke Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Hangzhou, China pada Disember depan apabila berada di kedudukan ketiga dalam ranking Jelajah Dunia.
Sementara itu, Sze Fei menganggap mereka agak bergelut berdepan Mitsuhashi-Okamura kelmarin memandangkan belum berada pada kondisi terbaik, namun masih mampu untuk memberikan saingan.
“Saya fikir kondisi kami belum berada pada tahap terbaik tetapi apa yang penting kami berjaya hadapinya dengan baik. Pendekatan kami masih sama iaitu untuk berikan yang terbaik dalam setiap perlawanan,” ujarnya.