KUALA LUMPUR – Suspek bunuh, simpan ibu dalam peti sejuk sejak tahun 2021 dalam sebuah rumah di Taman OUG, di sini, dipercayai memukul dada ibunya dengan menggunakan objek tumpul.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, perkara itu disahkan berikutan laporan awal bedah siasat
pasukan patalogi Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Bagaimanapun, laporan penuh autopsi masih belum diperolehi.
“Laporan awal mengesahkan si mati telah meninggal dunia akibat kecederaan pada dada akibat objek tumpul (Chest Injuries Due to Blunt Trauma),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mayat mangsa berusia 80-an itu diserahkan kepada suami di Jabatan Forensik PPUM pukul 9 pagi hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga mengesahkan suspek kini direman selepas dirawat di PPUM sejak 11 November lalu di lokasi kejadian.
“Saya boleh sahkan bahawa suspek kes bunuh ibu tiga tahun lalu sudah dibenarkan keluar dari PPUM sekitar pukul 6.15 petang semalam.
“Dia kini sudah ditahan reman sehingga 26 November depan di dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk siasatan lanjut dalam kes bunuh ini,” ujarnya.
Dalam siasatan kes berkenaan, polis setakat ini telah memanggil dan merakam sembilan percakapan bagi membantu pasukan penyiasat melengkapkan kertas siasatan kes bunuh terbabit.
“Selain itu, polis juga belum menerima sebarang timeline (jangka masa) tepat bila mangsa telah dibunuh anaknya dan masih menunggu laporan penuh bedah siasat daripada pasukan patalogi Unit Forensik PPUM,” jelasnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan seorang lelaki tergamak membunuh ibu sendiri dan menyimpan mayatnya di dalam peti ais sejak tiga tahun lalu dalam kejadian di Jalan Hujan Abu 6, di sini.
Difahamkan suspek lelaki berusia 50-an membunuh wanita berusia 80-an itu di kediamannya pada Mac 2021.
Mangsa yang mati dipercayai akibat dipukul itu meninggal dunia sebelum dibalut dengan tuala dan plastik dan diletakkan di dalam peti ais tersebut. – KOSMO! ONLINE