MELAKA – Seorang suri rumah diberkas pihak polis selepas dipercayai aktif mencuri beg tangan dan dompet pengunjung di sebuah pasar raya di Ayer Keroh, di sini, semalam.
Suspek berusia 45 tahun dan mempunyai empat orang anak itu ditahan kira-kira pukul 7.45 malam hasil risikan sepasukan anggota daripada Balai Polis Ayer Keroh.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, serbuan dilakukan selepas polis melihat suspek dalam keadaan mencurigakan berjalan dari arah pintu masuk pasar raya menuju ke kawasan parkir.
“Pasukan kemudian bertindak menahan suspek lalu memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa dan meminta pengenalan diri suspek.
“Pemeriksaan beg sandang dibawa suspek menjumpai dua dompet yang mana di dalamnya terdapat dokumen milik beberapa individu lain dipercayai mangsa kejadian curi,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambahnya, semakan lanjut mendapati suspek yang beralamat di Pulau Pinang mempunyai enam rekod lampau berkaitan jenayah sama dan dua kes di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Kesemua barangan yang diperiksa telah dirampas dan kini suspek ditahan di lokap di Balai Polis Malim bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Difahamkan suspek turut mencuri dompet pengunjung yang menunaikan solat di dalam surau di pasar raya berkenaan. – KOSMO! ONLINE