JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan situasi seorang pencuri memanjat bumbung rumah kerana dikejar penduduk sebelum dia terjatuh ke atas tanah, lapor laman berita Detik semalam.
Kejadian berlaku malam Isnin lalu di Pulogadung, Jakarta Timur.
Dalam video itu, orang ramai dilihat sedang mengejar seorang lelaki sebelum dia memanjat bumbung sebuah rumah.
Ada dalam kalangan penduduk turut memanjat bumbung untuk menangkap suspek, manakala yang lain menunggunya di atas tanah sambil menjerit ke arahnya.
Lelaki itu kemudian terjatuh dan dia ditangkap serta diserahkan kepada polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Pulogadung, Komisioner Polis Suroto, suspek disyaki mahu menjual motosikal curi.
Dia sebelum itu berjanji dengan bakal pembeli untuk melakukan transaksi secara bersemuka atau tunai semasa penghantaran (COD).
Namun, Suroto berkata, suspek melarikan diri apabila bakal pembeli dapat menghidu kegiatannya dan dia sempat mencuri telefon bimbit mangsa.
“Mangsa memeriksa lokasi telefon bimbit miliknya melalui aplikasi, lantas mengetahui kedudukan suspek.
“Ketika mangsa dan rakannya tiba, suspek melarikan diri ke arah kawasan perumahan dan memanjat rumah penduduk apabila dia dikejar beramai-ramai,” jelas Suroto.
Suspek dibawa ke balai polis setempat dan disoal siasat untuk tindakan lanjut. – AGENSI