fbpx

Perairan Malaysia dilanda angin kencang, laut bergelora

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora yang melibatkan beberapa kawasan perairan negara.

MetMalaysia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan 2 petang tadi menyatakan amaran bagi kategori pertama, angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam bersama ombak setinggi 3.5 meter diramalkan berlaku di perairan Pahang, Terengganu, dan Kelantan sehingga Ahad ini.

Selain itu, kenaikan paras air laut turut dijangka di kawasan perairan Terengganu dan Kelantan dalam tempoh yang sama, yang berpotensi menyebabkan limpahan air laut di pesisir pantai.

Dalam pada itu, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda beberapa kawasan termasuk Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, serta kawasan barat Sarawak, barat Sabah, Labuan, dan timur Sabah sehingga pukul 6 petang hari ini.

Bagi sektor perkapalan, amaran kategori kedua telah dikeluarkan bagi kawasan perairan Condore dan Reef North yang diramalkan berlaku sehingga Selasa, 26 November 2024.

“Keadaan ini memaksa penghentian sementara aktiviti seperti menangkap ikan, perkhidmatan feri, dan lain-lain aktiviti pantai,” katanya.

Sementara itu, beberapa kawasan lain seperti perairan selatan Samui, Tioman, utara Bunguran, tenggara Reef North, utara Reef South, Layang-Layang, Labuan, Palawan, dan Sulu dijangka mengalami angin kencang timur laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dan ombak setinggi 3.5 meter sehingga tarikh yang sama.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap perkembangan terkini melalui makluman rasmi MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI