MUAR – Seorang pemandu treler mengalami ‘microsleep’ atau terlelap dalam beberapa saat ketika memandu mengakibatkan seorang kanak-kanak berusia setahun lebih maut dalam satu kemalangan tragis dua kenderaan di Kilometer 148.1, Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan petang semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman, pihak polis menerima laporan kemalangan tersebut dari orang awam kira-kira pukul 3.44 petang.
“Kemalangan tersebut melibatkan sebuah treler dan sebuah kereta Proton Iswara dinaiki lapan sekeluarga.
“Hasil siasatan awal pihak polis mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu treler seorang lelaki warga tempatan berumur 26 tahun mengalami ‘microsleep’ telah hilang kawalan dan melanggar besi penghadang jalan.
“Pada masa sama telah datang sebuah kereta jenis Proton Iswara yang dinaiki oleh lapan sekeluarga telah merempuh sisi kanan hadapan treler terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini.
Raiz Mukhliz berkata, akibat daripada pelanggaran tersebut, seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun telah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tujuh mangsa lain telah dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk menerima rawatan. – KOSMO! ONLINE