ALOR GAJAH – Seorang pemandu lori didenda RM16,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan kecuaian memandu sehingga menyebabkan kemalangan yang meragut nyawa tiga beranak, lima tahun lalu.
Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan salah tertuduh, T. Kumaresan, 30, sejurus tiga pertuduhan pindaan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kesemua kertas pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu lori nombor pendaftaran MBS 9139 telah memandu secara tidak cermat dan perhatian yang sepatutnya sehingga melanggar kereta dinaiki tiga sekeluarga iaitu Ng Kwang Shiang,34; Ng Hui Bee, 27; dan Ng Huey En berusia tujuh tahun.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 12.19 tengah malam di Jalan Kolam dalam daerah Alor Gajah pada 18 November 2019.
Peguam A. Mathan yang mewakili tertuduh merayu agar denda minimum dengan alasan tertuduh bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM2,000 sebulan selain menanggung isteri dan ibunya yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.
Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,500 atau enam bulan penjara jika gagal bayar bagi setiap pertuduhan dan mengarahkan sabitan direkodkan pada lesen tertuduh. Tertuduh kemudian membayar kesemua denda tersebut. – KOSMO! ONLINE