KOTA BHARU – Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri mengangkat sumpah selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tersebut pada Persidangan DUN Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Mohd. Azmawi, 38, atau dikenali sebagai Awie, memenangi kerusi DUN pada 17 Ogos lalu mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah kira-kira pukul 9 pagi tadi.
Upacara angkat sumpah turut disaksikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud dan Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan dan 44 orang ADUN di Kelantan.
Sementara itu, Mohd. Amar dalam ucapan pembukaan Persidangan DUN Kelantan mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V atas kurniaan darjah kebesaran kepadanya dan beberapa orang ADUN lain.
Kemenangan Mohd. Azmawi daripada Barisan Nasional (BN) sebagai ADUN sekali gus mengubah sedikit kedudukan di dalam DUN Kelantan apabila pihak pembangkang ketika ini mempunyai tiga kerusi iaitu DUN Kota Lama, Galas dan Nenggiri. – KOSMO! ONLINE