PETALING JAYA – Dewan Rakyat hari ini kecoh selepas pengiktirafan yang diterima Perdana Menteri di peringkat global disamakan dengan Mahatma Gandhi dan Nelson Mandela.
Kekecohan bermula apabila RSN Rayer (PH-Jelutong) memulakan mukadimah dengan memuji usaha dilakukan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mereformasi pentadbiran dan tatakelola ketika ini.
“Yang Berhormat (YB) Perdana Menteri, saya lihat langkah-langkah diambil untuk mereformasikan pentadbiran dan perkara membabitkan tatakelola giat dilakukan kerajaan hari ini.
“Pada masa sama, penerimaan Perdana Menteri di persada dunia sama tarafnya seperti pejuang Mahatma Gandhi dan Nelson Mandela,” katanya selepas mendapat kebenaran Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengajukan soalan tambahan kepada Anwar semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT).
Ucapan Rayer itu menyebabkan suasana riuh daripada beberapa Ahli Parlimen yang menyifatkan mukadimah tersebut sebagai membodek.
Johari kemudian meminta Ahli Parlimen yang berdiri untuk duduk termasuk Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) dan Datuk Che Mohamad ZulkiflyJusoh (PN-Besut).
Pada masa sama, Rayer meminta Anwar menjelaskan istilah ‘banduan terhormat’ yang pernah disebut sebelum ini yang dipertikai di Dewan Rakyat.
Susulan itu, Johari meminta Anwar menjawab pertanyaan itu dengan segera berikutan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam bersama delegasi yang baru tiba ke Malaysia sedang menunggu di Perdana Putra, Putrajaya.
“Saya nak sebut, maki hamun ini saya tidak peduli. Saya ada kerja.
“Saya sudah dimaki hamun puluhan tahun dan di sebelah sana orang yang paling kuat pertahan saya, terima kasih,” katanya sambil memberikan salam dan keluar meninggalkan Dewan Rakyat.- KOSMO! ONLINE
“Besut memang tak layak jadi Timbalan Menteri” – PM @anwaribrahim pic.twitter.com/PP3j0NzICO
— Jason Yew (@jasonyew) November 21, 2024