PUTRAJAYA – Seorang wanita mengandung merupakan antara tiga mangsa yang disahkan maut selepas kereta yang mereka naiki terbabas berhampiran berhampiran IOI Conezion, di sini awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 12.10 tengah malam tadi.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya kemudian dikejarkan ke lokasi berkenaan.
“Setibanya di lokasi, terdapat empat mangsa berusia dalam lingkungan 20 hingga 40-an iaitu dua lelaki dan dua wanita termasuk seorang mengandung di dalam kereta jenis Perodua Viva terbabit.
“Kereta dinaiki mangsa dipercayai terbabas sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut Ahmad Mukhlis, seorang wanita yang cedera dalam kemalangan itu dikejarkan ke Hospital Putrajaya. – KOSMO! ONLINE