KUALA LUMPUR – Selepas 15 tahun kematian mendiang Teoh Beng Hock, Mahkamah Tinggi di sini hari ini, memerintahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya melengkapkan siasatan berhubung kematiannya dalam tempoh enam bulan.
Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh ibu bapa mendiang Beng Hock bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya pihak polis melengkapkan siasatan berhubung kematian anak mereka, pada tahun 2009.
Beng Hock ditemukan mati pada 16 Julai 2009 di bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.
Pada waktu kejadian mendiang merupakan Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah yang ketika itu adalah Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor.
Teoh Leong Hwee, 76, dan isterinya, Teng Shuw Hoi, 71, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 4 Januari 2022, dengan menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, PDRM dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.
Pada 5 Januari 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Beng Hock pada 2009 bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh serta mendapati tiada pihak ketiga terlibat dalam kematiannya.
Pada 21 Julai tahun sama, Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kematian Beng Hock memutuskan bahawa kematiannya akibat membunuh diri.
Pada 5 September 2014, Mahkamah Rayuan menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock dan memutuskan bahawa kematiannya akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.
Pada 16 Jun 2022 lepas, pasangan itu memperoleh kebenaran mahkamah untuk memulakan semakan kehakiman.
Pasangan itu memohon deklarasi bahawa kegagalan responden pertama, kedua dan ketiga untuk melengkapkan siasatan berhubung kematian anak mereka dalam jangka masa munasabah telah melanggari Seksyen 20(3) Akta Polis 1967.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju untuk pihak polis membuka semula kertas siasatan berkait kes kematian berkenaan.
Anwar dipetik berkata, pihaknya turut memberi jaminan siasatan kali ini akan dilaksanakan secara telus dan adil tanpa campur tangan mana-mana pihak, khususnya mengambil kira pandangan Mahkamah Rayuan berhubung kes itu pada 5 September 2014. – KOSMO! ONLINE